Aug 26, 2011

pandu cermat poket selamat



Had laju jalan persekutuan, negeri dikurangkan

2011/08/25

KUALA LUMPUR: Had laju di jalan persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara dikurangkan sebanyak 10km/j dalam usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika perjalanan "balik kampung" untuk menyambut Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata had laju bagi jalan persekutuan kini diturunkan kepada 80km/j daripada 90km/j dan jalan negeri ialah 70km/j daripada 80km/j.
Beliau berkata, pengurangan kadar had laju itu bermula dua hari lalu sehingga 6 September.
"Walaupun kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak empat peratus sepanjang tempoh Januari-Jun tahun ini, namun langkah berjaga-jaga adalah penting diutamakan sebelum dan selepas perjalanan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan 2011 sempena perayaan Aidilfitri, di sini hari ini.

Mengenai tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang melanggar had laju itu, Kong berkata pelbagai badan penguatkuasa sudah mengambil langkah berhubung perkara itu.

Katanya, kementerian akan memantau keadaan sepanjang kempen itu bagi mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian.

Mengenai permintaan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional supaya kementerian merombak Akta Pengangkutan Jalan 1967, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, beliau berkata kementerian akan mengkajinya.
Malah, katanya, agensi berkenaan di bawah kementerian itu mengadakan mesyuarat pagi ini untuk membincangkan perkara itu.

"Kami akan kaji cadangan itu dan maklumkan kepada mereka," katanya.

Mengenai laporan kira-kira 1,200 bas gagal ujian PUSPAKOM, beliau berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan mengendalikan perkara itu.

"Untuk mereka yang gagal, mereka perlu lakukan pembaikan atau tukar alat ganti yang perlu dan mereka perlu jalani ujian sehingga lulus. Selepas itu baru boleh berada di jalan raya," katanya.

Kong turut menasihatkan pengguna jalan raya yang akan balik ke kampung halaman untuk Hari Raya mengikut nasihat jadual perjalanan yang dikeluarkan syarikat pengendali lebuh raya, PLUS Expressways bagi mengelakkan kesesakan.

"Saya ingin nasihatkan juga supaya orang ramai menjaga Tiga K apabila memandu iaitu kelajuan, kesabaran dan kecergasan," katanya. - BERNAMA


notasemut : benda benda macam ni buat gua murka ni!

No comments: