Oct 27, 2011

7 Sebab Mengapa Penyokong Terengganu & Negeri Sembilan Perlu Tolak Tiket RM50

1. HARGA TIKET FINAL TIDAK AKAN TURUN BUAT SELAMA-LAMANYA BERMULA TAHUN HADAPAN

Jika stadium penuh pada final tahun ini, percayalah, harga tiket final tidak akan turun di bawah harga RM50 pada final tahun-tahun yang akan datang. Mengapa? Kerana jika stadium penuh tahun ini, maka ia akan dianggap satu kejayaan, sekaligus harga tiket RM50 akan dianggap ‘berpatutan’ dan ‘mampu milik’. Mana-mana ‘lalang’ Terengganu dan Negeri Sembilan yang meredhakan diri diperkotak-katik, bakal menanggung ‘dosa’ membiarkan harga tiket final mahal pada kesemua perlawanan final yang akan diadakan bermula tahun hadapan. Bila penyokong-penyokong lain bertanya “mengapa harga tiket RM50?”, maka mereka akan teringat “ini semua angkara ‘lalang-lalang’ Terengganu dan Negeri Sembilan yang beli tiket RM50 pada tahun 2011 dahulu.”

2. TIADA JAMINAN HARGA TIKET SEMIFINAL ATAU PERINGKAT LEBIH AWAL TIDAK AKAN DINAIKKAN

Jika harga tiket final RM50, apa jaminan harga tiket semifinal pula tidak akan dinaikkan? Apa jaminan harga tiket quarter final juga tidak akan naik? Tiada siapa mampu jamin bukan? Satu-satunya pihak yang boleh jamin ialah FAM. Kuasa kini 100% di tangan FAM: semuanya angkara ‘lalang-lalang’ Terengganu dan Negeri Sembilan yang telah meletakkan 100% kuasa tersebut di tangan FAM.

3. LOMPAT GRANDSTAND? TANGGUNGJAWAB FAM, BUKAN PEMINAT

Antara sebab yang diberikan Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM ialah masalah ‘lompat grandstand’:

“Dulu kita jual tiket RM50 dan RM30, ada penonton yang beli tiket RM30 kemudian lompat ke tempat duduk grandstand, sekarang kita buat keputusan untuk letak satu harga tiket saja.”
- Datuk S. Sivasundram, Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM

Bila masa pula masalah ‘lompat grandstand’ ini menjadi masalah yang perlu ditanggung oleh para penyokong? Bukankah sudah tugas FAM sendiri untuk memastikan kelancaran perjalanan sesuatu perlawanan final Piala Malaysia?

Mengapa pula para penyokong yang perlu dihukum apabila FAM yang tidak buat kerja?

4. BANTERAS ‘ULAT’ TIKET? TANGGUNGJAWAB FAM, BUKAN PEMINAT

“Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar) berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama wakil kedua-dua pasukan semalam.

Menurut beliau, selain membanteras kegiatan ‘ulat’ tiket, pihaknya juga mengambil kira lokasi tempat duduk penonton yang dilihat tidak banyak perbezaan di Stadium Shah Alam serta ketiadaan ganjaran wang tunai sebagai hadiah untuk edisi kali ini.”

‘Ulat’ tiket ini ialah individu-individu yang melonjakkan harga tiket di pasaran gelap. Kenapa FAM mahu banteras ‘ulat’ tiket dengan cara melonjakkan harga tiket juga? FAM banteras ‘ulat’ dengan cara menjadi ‘bapa ulat’ terbesar?

5. SUKAN BOLASEPAK BERJAYA KERANA PEMINAT, BUKAN FAM

Masa skyjuice buat laman HarimauMalaya.com dan En. Apit kena baling burger, mana penyokong Malaysia? Apa ranking Malaysia? Teruk bukan?

Kini apa ranking Malaysia? Ada perubahan? Ingatlah FAM, ketika ranking Malaysia masih juga tidak berubah-ubah, HANYA penyokong yang membawa perubahan kepada kemeriahan sukan bolasepak negara. Para penyokong bolasepak negara tidak pernah menagih simpati FAM, malah tidak segan-silu mengeluarkan duit poket sendiri, masa dan tenaga untuk menghidupkan kembali sokongan orang ramai terhadap sukan bolasepak tempatan.

Inikah balasan FAM, dengan melonjakkan harga tiket sebanyak 67 peratus?

6. PEMIMPIN-PEMIMPIN SENDIRI MENOLAK HARGA TIKET RM50

“Saya sudah pun merayu dengan FAM melalui (Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan) Datuk Hamidin (Amin) dan Datuk Azzuddin (Ahmad, Setiausaha Agung FAM) supaya dapat dikurangkan harga tiket (perlawanan Terengganu-Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam). Sekarang terpulang kepada mereka dan jawatankuasa berkenaan (untuk mengekalkan keputusan Isnin lalu dengan harga baru tiket semua tempat duduk, RM50, mengembalikan kepada harga asal, RM30 atau mengurangkan beberapa peratus daripada harga baru itu).”
- Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM

“Kita sendiri di peringkat PBNS tak setuju dengan harga tiket yang melonjak dari RM30 kepada RM50. Ramai yang meminta saya campur tangan tapi itu bukan bidang kuasa saya. Venue dan harga tiket, semua itu FAM yang tentukan. Tapi keputusan telah dibuat.”
- Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan dan Presiden PBNS

"Riuh dah tentang kenaikan harga tiket...SAYA SERBASALAH DAN TAK TAU SIAPA YG BETUL...JKPT Dan JKTP KATA IANYA DGN PERSETUJUAN PBNS&PBNT..TAPI MLM NI PRESIDEN PBNS HUBUNGI SAYA DAN NAFIKAN...YG MANA SATU BETUL?APAPUN SY HARAP PBNS&PBNT SEPAKAT DLM HAL INI...MEREKA BERHAK BERSUARA...BEGITU JUGA PENYOKONG..BERUNDINGLAH JALAN KELUAR YG BAIK..SUARA RAMAI HARUS DI DENGARI...."

“Saya rasa terkejut serta dukacita apabila mendapat tahu FAM menaikkan harga tiket sehingga 70 peratus dan kenaikan tersebut boleh disifatkan sebagai kenaikan yang mendadak.”
- Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

7. FAM ‘CABAR’ KUASA PEMINAT

“Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara demokrasi di mana penyokong bebas memilih untuk memulau perlawanan akhir nanti dan FAM tidak mempunyai sebarang kuasa bagi menyekat keputusan mereka itu.”
- Setiausaha Kehormat FAM, Datuk Azzuddin Ahmad

Itu satu cabaran bukan? Hendak beli? Belilah. Hendak pulau? Pulaulah.
Jadi mana satu pilihan para penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan?
Mahu jadi ‘lalang’? Atau jadi insan berpendirian?

Sumber Asal : RimauXI.com


notasemut : percayalah, masalah ni bukan hanya melibatkan penyokong terengganu dan negeri sembilan, tapi melibatkan kita semua. tak percaya lu orang tengok final tahun depan. dan depan depan..



No comments: