Apr 3, 2011

Siapa Mohamed Bouazizi?

Bermula seawal 17 Disember 2010 di pekan Sidi Bouzid, Tunisia, diikuti oleh Egypt, Libya, Algeria, Bahrain, Morocco, Lebanon, Jordan, Yemen, Saudi Arabia, Oman, Iraq, Iran, dan Syria. Ini belum termasuk protes berskala kecil terhadap pemerintah di beberapa negara lain yang tidak mendapat liputan akibat kongkongan media. Persoalannya, bagaimana revolusi ini bermula? Kenapa semuanya melibatkan negara-negara yang agama rasminya adalah Islam? Dan lebih menghairankan, kenapa revolusi ini berleluasa di negara-negara yang majoriti rakyatnya bertutur dalam bahasa arab, yakni bahasa di dalam Al-Quran itu sendiri?

* * * * * * * * * * * 





Kehidupan sederhana dan bermasalah

Mohamed Bouazizi berusia 10 tahun ketika dia mula mencari rezeki untuk keluarganya, menjual produk segar di pasar tempatan. Dia belajar di sekolah tinggi dan pernah menduduki peperiksaan, tapi tidak lulus.

Ayahnya meninggal dunia ketika dia berusia tiga tahun. Kakaknya tinggal jauh dari keluarga, di Sfax. Sfax di mana? Pergi tanya google. Walaupun ibunya berkahwin lagi, tetapi suami keduanya menderita akibat penyakit dan tidak dapat mencari pekerjaan tetap.

"Dia tidak mengharapkan untuk belajar, kerana kami tiada duit," kata ibunya.

Pada usia 19 tahun, dia berhenti belajar dan bekerja sepenuh masa, untuk membantu menyara keluarga dan memastikan lima adik-adiknya dapat meneruskan persekolahan.

"Kakak saya belajar di universiti dan dia yang menampungnya," kata Samya Bouazizi, salah seorang adik perempuannya,. "Saya juga masih bersekolah dan dia juga yang membantu saya."

Dia pernah cuba untuk menjadi tentera, namun ditolak. Cubaan untuk mencari kerja lain juga tidak berjaya. Dengan keluarga bergantung penuh pada dirinya, pilihannya terhad, lalu terpaksa terus mencari rezeki di pasar.

Bouazizi, baru berusia 26 tahun ketika meninggal awal bulan ini, adalah seorang yang jujur ​​dan rajin. Setiap hari, dia akan menolak troli kayunya ke supermarket dan menurunkan buah-buahan dan sayur-sayuran. Selepas itu, dia akan berjalan pula sejauh dua kilometer menuju ke pasar tempatan.

Dibuli pihak polis

Dan hampir setiap hari, dia dibuli oleh pegawai polis tempatan.

"Sejak dia masih kecil, polis sering melayannya dengan buruk. Dia sudah lali," kata Hajlaoui Jaafer, teman rapat Bouazizi,. "Aku melihat sendiri dia diaibkan."

Dia dibuli dengan pelbagai cara. Di tambah pula dengan kerenah birokrasi di kawasan tersebut yang memang diketahui umum. Polis akan merampas timbang dan barang jualannya, atau denda kerana membuka gerai tanpa permit.

Enam bulan sebelum cuba membunuh diri, polis menghantar denda sebanyak 400 dinar (lebih kurang $280) ke rumahnya - iaitu bersamaan dengan dua bulan hasil pendapatannya.

Gangguan demi gangguan, akhirnya menjadi terlalu melampau bagi pemuda tersebut pada 17 Disember 2010.

Pagi itu, ia menjadi fizikal. Seorang polis wanita berhadapan dengannya dalam perjalanan ke pasar. Polis wanita tersebut cuba merampas peralatan berniaga, tapi Bouazizi menolak untuk menyerahkannya. Mereka berbalas maki hamun antara satu sama lain, polis tersebut menampar dia dan dengan bantuan dari rakan polis yang lain, menyebabkan dia dipaksa jatuh ke tanah.

Pihak polis merampas peralatan dan semua barangan jualannya.

Dihina dihadapan orang ramai, Bouazizi cuba untuk mencari jalan lain. Dia pergi ke pejabat pemerintah daerah setempat dan meminta untuk bertemu dengan pegawai. Dia diberitahu bahawa pegawai sedang bermesyuarat dan tidak dapat berjumpa dengannya.

"Ini adalah pembohongan yang biasa kita dengar," kata temannya.

Protes sebagai langkah terakhir

Terlalu kecewa selepas pegawai bertanggungjawab tidak mahu mendengar keluhannya, lelaki muda tersebut membeli bahan bakar, kembali ke hadapan pejabat, lalu membakar diri.

Bagi ibu Mohamed, anaknya membakar diri bukan sebab kemiskinan tetapi kerana sudah tidak tahan diaibkan dengan sangat teruk.

"Ini terlalu menyakitkan, menjatuhkan maruah dirinya," katanya lagi, merujuk pada penghinaan polis terhadap anaknya.

Ekoran daripada kejadian tersebut, rakyat bangkit dan semangat memberontak tersebar begitu cepat. Dari Sidi Bouzid, merebak ke Kasserine, Thala, Menzel Bouzaiene. Rakyat Tunisia tanpa mengira kelas, usia dan profesion menyertai revolusi.

Pada awalnya, bagaimanapun, kemarahan itu bersifat peribadi.

"Apa yang benar-benar membakar semangat revolusi adalah kerana Mohamed Bouazizi merupakan seorang yang sangat terkenal dan popular di kalangaan masyarakat setempat. Dia akan memberikan buah percuma dan sayur-sayuran untuk keluarga sangat miskin," kata Jaafer.

Selepas dua minggu barulah Presiden Ben Ali datang melawat Bouazizi di hospital di Ben Arous. Menobia Bouazizi mengatakan bekas presiden itu membuat kesilapan besar tidak bertemu dengan anaknya cepat, dan pada ketika Ben Ali tiba untuk melawat keluarganya, segalanya sudah terlambat - baik untuk menyelamatkan anaknya, atau menyelamatkan kedudukannya sebagai presiden.

"Presiden berjanji dia akan melakukan apa saja untuk menyelamatkan anak kami, bahkan berjanji untuk menghantar ke Perancis untuk rawatan."

Malangnya Presiden tidak pernah mengotakan janji-janjinya kepada keluarga kami, sambung Menobia Bouazizi.


Tindakan terdesak Bouazizi mencerminkan keadaan sebenar rakyat Tunisia yang rata-ratanya hidup dalam kesempitan, kekerasan polis yang melampau, pengangguran berleluasa, dan kurangnya hak asasi manusia. Protes bermula di Sidi Bouzid pada hari yang sama. Merebak dengan cepat di seluruh wilayah, dan akhirnya ke seluruh negara.

Pemberontakan menular

Pada saat anak Menobia Bouazizi meninggal dunia pada tanggal 4 Januari 2011, pemberontakan sudahpun merebak di seluruh Tunisia.

Fedya Hamdi, polis terakhir yang mengaibkan anak muda tersebut, melarikan diri keluar dari bandar. Dia dilaporkan dipecat, tetapi ke mana dia menghilang tidak diketahui.

Sementara itu, tubuh lelaki yang memulakan revolusi kini bersemadi di sebuah makam sederhana luar Sidi Bouzid, dikelilingi oleh pohon-pohon zaitun, cactus dan pohon badam berbunga.

Kehilangannya sangat dirasai oleh ahli keluarga, rumah sederhana itu sekarang menjadi salah satu yang paling sibuk di Sidi Bouzid, dengan dibanjiri wartawan yang baru saja menjumpai kota di mana revolusi bermula.

"Dia sangat tulus," kata Basma Bouazizi, adiknya 16 tahun,. "Kami seperti tubuh tanpa jiwa sejak dia pergi."

Sumber asal: Al Jazeera

Baca sambungannya, Bagaimana rakyat Sidi Bouzid melancarkan sebuah revolusi.