Mar 29, 2012

Imam 'baling kasut' Islamkan 2 banduan, ajar fardu ain di penjara

Imam 'baling kasut' Islamkan 2 banduan dalam penjara

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Biarpun dihukum penjara setahun dek kerana membaling kasut ke arah hakim, tanggungjawab dakwah imam Hoslan Hussain tidak terhenti di sebalik jeriji besi.

Malah beliau dikatakan sudah berjaya mengislamkan dua saudara baru dan mengajar agama dalam penjara.

Isterinya, Noorliza Mohd Isa ketika berkongsi keadaan terkini Hoslan berkata, suaminya yang dipenjara di Penjara Kajang itu juga turut menjadi imam kepada banduan lain ketika solat berjemaah.

"Alhamdulillah, beliau berjaya mengislamkan dua orang banduan selain mengajar fardu ain di dalam penjara," katanya.

Beliau menceritakan perkara itu ketika menerima kunjungan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang diketuai Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, kelmarin.

Turut serta dalam rombongan itu Bendahari DMPP, Nurul Huda Yusof Rawa dan aktivis muslimat, Ustazah Rosiah Salleh.

Kunjungan itu juga bertujuan menyampaikan sumbangan kepada Noorliza yang kini terpaksa menanggung perbelanjaan tujuh orang anak mereka yang berumur antara 16 hingga enam tahun.

DMPP sebelum ini telah membuat komitmen untuk memberi bantuan tetap RM800 sebulan kepada keluarga Hoslan sepanjang tempoh beliau dipenjarakan.

Hoslan yang merupakan bekas imam Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan menghina mahkamah.

Ianya ekoran tindakan Hoslan membaling kasut ke arah panel tiga hakim yang sebelum itu membuat keputusan menggugurkan kesnya.

Sumber : Harakahdaily


1 comment:

Anonymous said...

tadi aku terbaca tentang jabatan penjara mengatakan ustaz hoslan mengislamkan seorang yg memang dah di islamkan dan seorang lagi yg dalam proses di islamkan oleh jabatan penjara.

apa2 pun, pada aku...memeluk islam tak perlu kepada dokumentasi tetapi sah dengan niat yg ikhlas dan lafaz syahadah yg yakin.

kalau yer pun perlu kepada dokumentasi...ia boleh dibuat kemudian.

jadi tak der salahnya ustaz mengislamkan kedua2nya walau apa pun 'arguement' nya.

jadi dalam perkara ini, biarlah Allah menilai dan menentukan kepada siapa dan sebanyak mana pahala yg patut diterima. yg penting kita laksanakan tugas kita sejauh mana kemampuan kita untuk menyebarkan islam dan membesarkan Allah di muka bumi ini.

Allahu akhbar